S Tangan berpeluh (Hyperhidrosis) ~ DIARI Online

Thursday, January 20, 2011

Tangan berpeluh (Hyperhidrosis)

 
 
Seingat aku, aku menghidap tangan berpeluh sejak kecil lagi. Bila ada kelas mewarna, habis kertas lukisan aku akan kotor sebab ada kesan2 jalur tangan aku masa mewarna. Dan kertas aku akan jadi basah kemudian kedut sebab dah kering. Hinggakan aku terpaksa letak somthing bawah tangan aku untuk memastikan lukisan aku tak comot. Tapi memang tak selesa sebab rasa tak bebas.
Bila nak bersalam dengan orang, aku akan pastikan tangan aku kering dulu. Aku lap kat baju ke kat dinding ka supaya orang yang akan bersalam dengan aku tak rasa geli. Tambahan pula kalau nak ambil hadiah kat pentas. Perghh..bila gabra, makin kuat peluh aku keluar plus dengan tangan aku akan jadi sejuk macam ais. Aku pernah kena tegur. Bila bersalam, puan tu cakap ' Amboi..sejuknya tangan awak? Takut ek? ' Aku senyum ja..haha..:/

Bila time nak exam jangan cakaplah macamna rupa kertas aku tu. Lagi2 kertas karangan. Habis lenjun dengan peluh aku. Bukan apa, rasa cuak tu tak boleh nak control. erm..dan aku akan letak alas macam biasa. Tapi bila dah dapat idea tu, alas kemana, peluh kemana, basah jugak. Setakat ni yang paling ketara bila aku gayut guna handfone. Tengah ralit gayut aku rasa macam ada yang mengalir dari tapak tangan ke lengan aku. Rasa geli2 sikit. Bila aku tengok rupanya peluh aku? Dasyat sangat.

Memanglah perasaan rendah diri tu ada. Lagi2 kalau nak bersalam. Kalau boleh rasa macam nak tutup muka bila ada yang salam ngan aku dan cakap 'e..tangan kau basah' Adui..malunya.....Tapi kelebihan tangan basah ni adalah, tangan aku lembut aja:p..hehe..fikir kelebihan, baru rasa sedap sikit hati kan?? Itu aku cerita bab tangan aja. Belum masuk bab kaki lagi tu. Aku memang dilarang pakai kasut bertutup macam kasut sport. Memang mudah berpeluh. Bila berpeluh mula lah bakteria nak jadi kawan kaki aku, bila dah berkawan, dah sebati, bau pun akan menyelubungi..haha..

Tapi disebabkan dah biasa dengan kebasahan ni, bila tangan dan kaki kering aku akan cari air untuk basahkan bahagian itu. Tak pun aku akan gosok tangan dan kaki kat tempat yang kasar supaya jadi basah berpeluh..erm..macam2..sebab tu aku tak boleh duduk dekat marmar, atau tempat yang sejuk2 ni. Aku lebih selesa duduk dekat tilam, dekat karpet (kasar). Bukan mengada2 tapi keselesaan sejak kecil lagi.

Aku ada juga serve internet, rupanya yang aku alami ni adalah satu penyakit yang dipanggil Hyperhidrosis iaitu peluh yang berlebihan. Ini antara petikan yang aku jumpa:

"Penyakit berpeluh yang berlebihan dikenali sebagai Hyperhidrosis. Ia berlaku pada hampir 1% daripada populasi terutamanya wanita. Perpeluhan yang tidak normal ini biasanya mengganggu kehidupan pesakit dan ia boleh berlaku di tangan, ketiak, kaki atau muka. Ada pesakit yang tidak ke masjid atau berdebar ketika hari raya menjelang tiba kerana tangan yang basah ketika bersalaman. Ada pesakit yang mengadu berpeluh menitik-nitik tanpa sebab dan kaki yang berendam di dalam kasut disebabkan perpeluhan pada kaki. Ini menyebabkan mereka berasa sulit untuk menjalani kehidupan.

Penyebab penyakit hyperhydrosis ini masih belum diketahui. Walaupun begitu, ia dipercayai disebabkan oleh rangsangan saraf simpatetik yang berlebihan pada kelenjar peluh yang terlibat.

Terdapat pelbagai cara rawatan yang boleh dan pernah digunakan untuk merawat penyakit ini. Ia termasuklah penggunaan Ubat Sapu antiperspirant, pil antikolinergik dan iontophoresis. Namun kesannya tidaklah menyeluruh dan hanya berkesan pada sebilangan kecil pesakit sahaja. Begitu juga dengan penggunaan suntikan botulinum(Botox), walaupun berjaya untuk merawat pesakit tetapi biasanya ia adalah sementara. Pesakit memerlukan rawatan yang berulang-ulang kali setiap 3-6 bulan.

Rawatan pembedahan simpatektomi merupakan rawatan yang terbukti keberkesanannya. Terdapat pelbagai cara di dalam melakukan pembedahan tersebut dan cara yang terkini ialah melalui pembedahan lubang kunci (key-hole surgery) iaitu Endoscopic TransThoracoscopic Sympathectomy(ETS). Penggunaan ETS ini telah merubah cara rawatan penyakit hyperhydrosis daripada rawatan menggunakan ubat-ubatan kepada pembedahan.

Keberkesanannya dilaporkan sehingga 98% dengan kesan samping yang sangat kecil. Di antara kesan samping yang dilaporkan termasuk kerosakan saraf frenik, saraf brachial plexus, Sindrom Horner, perdarahan ruang paru-paru dan pneumothoraks. Tetapi semua komplikasi tersebut adalah sangat kecil iaitu pada kadar 1%. Komplikasi yang paling kerap dilaporkan ialah ‘Perpeluhan di tempat lain’ (Compensatory sweating) iaitu pada kadar 40%. Pesakit biasanya mengadu berpeluh pada badan atau peha selepas daripada pembedahan dijalankan. Ia boleh jadi sementara ataupun berkekalan.

Pembedahan ETS dilakukan selepas pesakit diberi bius menyeluruh(general anesthesia). Endoscope berbentuk Y akan dimasukkan ke dalam ruang paru-paru melalui luka sebesar 2cm di bawah ketiak. Saraf simpatetik ke 2 - 4 akan dikenalpasti melalui kamera pada endoskop tersebut dan seterusnya akan dipotong menggunakan mesin diathermi. Selepas luka dijahit, prosedur yang sama akan dilakukan di paru-paru berikutnya. Biasanya pesakit akan dibenarkan pulang pada hari berikutnya.

Secara kesimpulannya, ETS sangat berkesan untuk hyperhydrosis pada tangan dan muka dan sebahagian pada kaki. Kesan yang drastik dengan komplikasi yang minimal menyebabkan rawatan ini semakin popular di dalam merawat penyakit Berpeluh berlebihan."
So? Dah ada penyelesaian. Pilihan semua di tangan aku. Tapi bukan sekarang. Bila dah ada kekuatan..haha..

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.